

Kecekapan guru dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pengurus dapat membantu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Menurut Noraisah Ibni Qasim, pengurusan alam pembelajaran penting bagi memenuhi masa yang diperuntukkan untuk mengajar, memastikan objektif pembelajaran dan pengajaran tercapai serta tidak membosankan kerana dapat menarik perhatian pelajar terhadap pengajaran tersebut.
Guru perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal sebelum memasuki kelas. Elemen penting yang perlu disediakan sebelum memasuki kelas ialah kebijaksanaan dan penilitian dalam perancangan, pelaksanaan, penyeliaan, penilaian dan refleksi. Guru juga perlu merancang kurikulum, sukatan, huraian sukatan, buku teks, bahan rujukan tambahan dan maklumat tambahan daripada pelbagai sumber termasuk laman web. Guru perlu menyediakan bahan bantu mengajar dengan menitikberatkan aspek yang melibatkan inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran supaya kelas tidak menjadi beku dan kaku diikuti dengan perancangan kemajuan pelajar, merangka rancangan kerja tahunan, termasuk ujian penilaian dan pentaksiran.
Aktiviti pembelajaran perlu dikendalikan dalam suasana yang kondusif. Antara cara mewujudkan suasana yang kondusif dalam kelas ialah dengan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik, pembentukan akhlak dan kemahiran tertentu dapat diterapkan dengan lebih mudah dan berkesan. Guru juga dapat memberikan motivasi yang berkesan kepada para pelajar dan menanam nilai murni dalam diri pelajar dengan lebih mudah dan berkesan.
Proses pembelajaran yang lebih menyeronokkan dapat membantu para pelajar memberi tumpuan dan memahami pelajaran dalam kelas. Teknik pembelajaran yang menyeronokkan perlu diaplikasikan di sekolah seperti dengan menggunakan alat bantuan mengajar, aktiviti berkumpulan dan memberikan peluang kepada pelajar memberi pendapat dan pandangan. Kaedah supaya pelajar lebih mudah ingat pula ialah dengan menggunakan kaedah akronim, menyuruh pelajar ke hadapan untuk menyelesaikan masalah di papan putih, menggunakan video dan menggunakan kaedah gallery walk.
Kesimpulannya, pengurusan alam pembelajaran ini sangat penting kepada para pelajar bagi memudahkan pelajar untuk mengulangkaji pelajaran dan lebih memahami apa yang mereka pelajari. Selain itu, proses pemindahan maklumat juga dapat berjalan dengan lancar tanpa gangguan dan pelajar dapat lebih fokus kepada sesuatu topik sahaja. Guru perlu menguasai beberapa kemahiran dan teknik sebelum memasuki kelas bagi memastikan para pelajar dapat menerima ilmu pengetahuan dengan teknik yang mudah dan berkesan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan